THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Monday, January 25, 2010

TUDUNG WANITA..

Nilai Tudung Wanita

Nirza menulis "
Di sini kita ingin menyentuh tentang pemakaian tudung
kaum wanita masa kini sebagai renungan bagi wanita
Islam. Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan
lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah
dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya.
Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat
telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan
warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya
dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti
intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan
disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu
juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang
bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak
umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat
bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak
sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata
untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan
kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah
sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya,
sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita
saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung.
Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari
peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada
dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada
pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai,
namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna.
Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan
sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa
yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat
dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen
tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di
dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang
menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan
berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah
dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu
kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah,
sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu
adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus
menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian
dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan
wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan
daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus
pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan
gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias,
maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun
bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga
dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik
dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik,
up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan
sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan
rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina,
banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita
tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung
ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita
laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga
bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak
bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi
berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang
bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas.
Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan
lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi
maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk
kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang
sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak
orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap
orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan
bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak
bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih
bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk
Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga
kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung,
perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan
Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan
agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah
orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah
agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah
kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui
pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki
diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca
gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat
orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik
tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi
dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari
masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati).
Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga,
ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari
tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau
tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan
Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah
itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran.
Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak
menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa
lain.

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari
suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur.
Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki
perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan
teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang
Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada
ketentuan qada' dan qadar dari Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan
lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam
waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang
lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap
dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka
mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai
seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita
Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana
indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi
wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan
ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui
"Islam is really beautiful." Semuanya bila individu
Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai
wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak
langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui
pakaian.

0 comments: